Tuesday, April 22, 2014

KAJANG 7 Okt. - Kadar perlindungan insurans dan takaful dalam kalangan rakyat negara ini yang masih rendah, berupaya menjanjikan pendapatan yang baik dalam sektor pekerjaan sebagai ejen insurans. 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, ketika ini, pendapatan purata bagi seorang ejen insurans sepenuh masa berjumlah RM91,000 setahun.

"Ejen insurans kini merupakan profesion yang semakin digemari kerana menjanjikan potensi pendapatan yang tinggi.

"Malah, terdapat pasaran yang masih belum diterokai sepenuhnya, khususnya di kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak," katanya selepas merasmikan Simposium Insurans dan Takaful Antarabangsa 2013 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Insurans Malaysia, Khadijah Abdullah dan Dekan Fakulti Sains Dan Teknologi UKM, Prof. Dr. Sahrim Ahmad.

Kadar perlindungan insurans dan takaful di Malaysia ketika ini ialah 42 peratus.
Ahmad berkata, negara menyasarkan kadar tersebut dinaikkan kepada 75 peratus pada tahun 2020, seiring dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju.

Tambahnya, kadar perlindungan yang masih rendah itu berkait rapat dengan kurangnya kefahaman rakyat mengenai perlindungan.

Jelasnya, perlindungan insurans dan takaful penting lebih-lebih lagi produknya kini lebih meluas meliputi pendidikan, kesihatan, pelaburan serta perlindungan kemalangan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131008/ek_03/Ejen-insurans-menjanjikan-pendapatan-tinggi#ixzz2zrQrpup2
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: