Sunday, April 24, 2016

Mengapa orang ramai membeli insurans hayat

ARKIB : 28/01/2002

Utusan Online


Orang ramai membeli polisi insurans hayat kerana berbagai sebab. Berikut adalah beberapa contoh mengapa orang ramai daripada berbagai lapisan masyarakat membeli polisi insurans hayat:
Pemandu teksi yang menampung sara hidup keluarganya: Saya telah bekerja sebagai pemandu teksi selama sepuluh tahun.
Saya sudah lama terfikir hendak membeli polisi insurans hayat, tetapi tidak berbuat demikian sehingga saya ditimpa kemalangan dan tidak dapat bekerja selama beberapa minggu.
Pendapatan saya tidak tetap. Saya akan hanya mempunyai pendapatan sekiranya saya bekerja. Jika saya sakit atau ditimpa kemalangan dan terpaksa pula masuk ke hospital, saya tidak dapat mencari nafkah. Saya mempunyai tiga orang anak yang masih kecil dan isteri saya pula tidak bekerja.
Semasa saya sakit dan tidak bekerja, saya berasa amat bimbang akan nasib anak-anak dan isteri sekiranya saya meninggal dunia.
Ini membuatkan saya sedar betapa pentingnya polisi insurans hayat untuk melindungi keluarga sekiranya berlaku sesuatu terhadap diri saya.
Seorang guru yang menjaga ibunya: Saya masih bujang dan telah mengajar selama lima tahun. Saya tidak mempunyai tanggungan lain kecuali ibu saya yang berumur lima puluh tahun.
Sebagai memenuhi tanggungjawab seorang anak, saya telah membeli polisi insurans hayat dan menamakan ibu sebagai penama. Sekiranya saya ditimpa kemalangan dan meninggal dunia, wang daripada polisi insurans hayat itu akan dapat membantu ibu untuk terus menikmati taraf hidup yang baik. Ibu juga boleh menggunakan wang tersebut untuk mengambil pembantu rumah untuk menjaganya.
Ahli perniagaan yang ingin melindungi keluarganya: Saya telah berkecimpung dalam bidang perniagaan selama lima belas tahun. Walaupun perniagaan saya maju, saya tidak mahu keluarga saya kehilangan taraf hidup yang dinikmati sekarang.
Semua jenis perniagaan ada risikonya. Saya berasa amat bimbang jika satu hari nanti kemelesetan ekonomi yang teruk akan menyebabkan perniagaan saya gagal dan jatuh bankrap.
Saya tidak mahu pemiutang mengambil polisi-polisi insurans hayat saya dan menyerahkannya untuk mendapatkan tunai sedangkan pada itulah saya harus melindungi polisi-polisi tersebut.
Justeru, saya telah membeli polisi insurans hayat dan menamakan isteri dan keempat-empat orang anak saya sebagai penama. Di bawah Seksyen 166 Akta Insurans 1996, polisi tersebut menjadi polisi amanah.
Jika sekiranya perniagaan saya gagal dan saya jatuh bankrap, polisi tersebut akan melindungi keluarga saya sekiranya saya meninggal dunia.
Balu yang berasa bimbang akan kebajikan anak-anaknya: Suami saya telah meninggal dunia dalam satu kemalangan tiga tahun yang lalu ketika berumur awal empat puluhan. Kami mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah.
Kami bersyukur kerana mendiang suami saya mempunyai polisi insurans hayat. Wang yang diperoleh daripada polisi tersebut telah digunakan untuk melangsaikan pinjaman rumah.
Walaupun begitu, saya masih terpaksa mencari pekerjaan untuk menyara hidup kami sekeluarga. Oleh itu, saya juga telah membeli polisi insurans hayat untuk melindungi saya jika berlaku kemalangan, kecacatan dan juga kematian ke atas diri saya. Sebagai ibu, saya bertanggungjawab membuat perancangan untuk anak-anak saya.
ARTIKEL ini telah diterbitkan dengan kerjasama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM). Artikel yang telah disiarkan boleh didapati melalui laman web LIAM, www.liam. org.my.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0128&pub=utusan_malaysia&sec=ekonomi&pg=ek_05.htm&arc=hive#ixzz46ksZz8O5 
© Utusan Melayu (M) Bhd