Sunday, November 8, 2015

Beban Kewangan Akibat Kanser

Utusan Online
3 November 2015

Pada tahun 2012, terdapat lebih daripada 37,400 kes baharu melibatkan penyakit kanser dan 21,700 kematian dilaporkan di Malaysia akibat kanser. 

Lebih membimbangkan, satu daripada empat rakyat Malaysia dijangka disahkan menghidap kanser sebelum usia 75 tahun.

Hampir semua orang telah melalui pengalaman menyaksikan ahli keluarga atau rakan terdekat berhadapan dengan penyakit ini. Apabila melibatkan penyakit yang boleh membunuh, pastinya memberi kesan kepada fizikal dan mental penghidap dan orang sekeliling. Beban kewangan juga menjadi isu ketara yang dialami mereka.

Kajian ASEAN Costs in Oncology (ACTION) oleh George Institute for Global Health membuktikan impak kewangan akibat kanser dengan menunjukkan sebanyak 45 peratus daripada pesakit kanser mengalami masalah kewangan setahun selepas diagnosis manakala 11 peratus mengalaminya lebih awal daripada itu.

Penasihat Perubatan Perkhidmatan Kesihatan AIA, Dr. Myralini S.Thesan berkata, kajian ACTION merupakan yang pertama seumpamanya dijalankan di Asia Tenggara bagi mengenal pasti bebanan ekonomi yang dihadapi oleh pesakit kanser di Malaysia semasa dan setahun selepas disahkan menghidap kanser.

“Kanser adalah punca utama bagi kematian pramatang di Malaysia. Kematian tersebut boleh dielakkan jika terdapat lebih banyak usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang pengesanan awal dan perlindungan kewangan yang kukuh.

“Ketika ini hanya 22 peratus rakyat Malaysia yang mempunyai insurans perubatan atau insurans penyakit kritikal. Boleh dikatakan sebahagian besar masyarakat berkemungkinan menghadapi bebanan kewangan jika disahkan menghidap kanser pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada sesi perbincangan pengurusan kewangan bagi penghidap kanser di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, ACTION mencatatkan peratusan yang membimbangkan di mana sebanyak 39 peratus pesakit tidak mampu untuk membayar kos ubat-ubatan, 35 peratus tidak dapat membayar bil perubatan, 22 peratus tidak dapat membayar pinjaman gadai, dan 19 peratus lagi menunjukkan penghidap terpaksa memberhentikan rawatan.

Rata-rata menganggap insurans bukanlah satu keperluan utama dalam kehidupan dan ada yang menunjukkan mereka masih lagi tidak memahami konsep berkenaan faedah, kebaikan, dan keperluan memiliki pelan perlindungan diri melalui skim insurans perubatan sehinggalah mencapai usia tertentu atau ada dalam kalangan ahli keluarga mereka sakit atau terlantar di hospital.

Ketua Pegawai Pemasaran AIA, Thomas Chong berkata, peranan yang dimainkan oleh syarikat insurans dilihat sangat penting bagi memastikan masyarakat dapat membuat persediaan kewangan yang cukup untuk menghadapi bebanan kewangan jika disahkan menghidap kanser.

Katanya, produk yang menepati keperluan khusus juga perlu bagi memastikan semua orang mampu untuk memiliki pelan perlindungan perubatan dan bertanggungjawab terhadap kesihatan diri masing-masing dengan pengesanan lebih awal penyakit dan memanfaatkan hasil rawatan perubatan yang lebih baik.

“Syarikat insurans kini menyedari akan keperluan untuk mencipta produk yang lebih ‘berfokus’ dengan mengambil kira masalah kesihatan pada peringkat-peringkat tertentu. Dengan itu, perlindungan secara menyeluruh mampu menangani sesuatu penyakit seperti kanser yang diselaraskan bagi keperluan pengguna,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan syarikat insurans kini menawarkan pelbagai pakej polisi insurans kesihatan mengikut kemampuan pelanggan.

Pelan perlindungan ini sangat penting sebagai perancangan jangka panjang dan mendapat perlindungan yang baik pada masa akan datang jika ditimpa musibah kesihatan.

Kelangsungan Hidup

Dalam pada itu, Pakar Onkologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Muhammad Azrif Ahmad Annuar berkata, sejak 20 tahun lalu kemajuan ketara dapat dilihat dari segi rawatan kanser sama ada kanser umum atau yang jarang berlaku dengan kebanyakannya menunjukkan kelangsungan hidup yang lebih panjang dan mampu meningkatkan kualiti hidup penghidap.

“Kemajuan dapat dilihat dalam setiap bidang kesihatan kanser iaitu pencegahan, penyaringan, kemoterapi, terapi sasaran, pembedahan, terapi radiasi, dan penjagaan sokongan untuk kesan sampingan.

“Malangnya di Malaysia, ramai pesakit mengesan kanser pada tempoh waktu yang lewat menyebabkan sukar untuk mendapatkan rawatan yang optimum secepat mungkin. Kos merupakan salah satu sebab mereka menangguhkan rawatan,” katanya.

Beliau mengakui dengan adanya perlindungan perubatan, penghidap dapat memanfaatkan rawatan walaupun kosnya yang tinggi namun bagi segelintir mereka yang tidak ‘dilindungi’, keadaan ini menyebabkan kualiti hidup mereka terjejas disebabkan penangguhan rawatan kerana tidak berkemampuan.

- See more at: http://m.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/beban-kewangan-akibat-kanser-1.153934#sthash.9ywMnBbc.dpuf