Pekerja di negara-negara Asia, termasuk di Malaysia, meminta
perlindungan penyakit kritikal sebagai elemen paling dikehendaki dalam
skim Faedah Pekerja (EB) selepas perlindungan kemasukan hospital
berikutan kebimbangan tentang kenaikan kos perubatan dan kedudukan
kewangan.
Kajian AIA menunjukkan kurang 10% majikan menawarkan penyakit kritikal
sebagai sebahagian daripada skim faedah pekerja yang menimbulkan
persoalan adakah program faedah syarikat selaras dengan keperluan
sebenar pekerja.
Kajian itu menemu bual 821 pekerja di Malaysia, Hong Kong, Singapura
dan Thailand serta 413 syarikat multinasional dan tempatan.
"Kebimbangan utama yang disebut oleh empat daripada lima pekerja adalah
peningkatan kos perubatan, diikuti kedudukan kewangan keluarga mereka
jika mereka tidak boleh bekerja berikutan penyakit serius, menggariskan
kekurangan perlindungan dalam bidang penyakit kritikal," kata AIA dalam
satu kenyataan hari ini.
Kajian itu berkata sungguhpun majoriti majikan menerima program EB
sebagai insentif untuk menarik dan mengekalkan bakat, ramai yang melihat
kos sebagai kekangan ketara untuk menambahkan perlindungan penyakit
kritikal dalam skim syarikat.
Secara puratanya, kajian itu menunjukkan perlindungan penyakit kritikal akan menambah 38% kepada premium mereka.
Realitinya, ia mungkin menambah kurang daripada 10 peratus kepada
premium keseluruhan mereka atau kurang satu peratus daripada pengeluaran
gaji tahunan mereka, kata kajian itu.
Pada kos ini, 73% daripada majikan berminat untuk menambah penyakit kritikal dalam skim syarikat, kata kajian itu.
Mereka juga mungkin boleh menimbangkan untuk menstrukturkan semula skim
EB untuk memberikan gabungan faedah yang berlainan untuk memasukkan
penyakit kritikal, kata kajian itu. - Bernama, 6 Disember, 2013.
No comments:
Post a Comment