Firma perancangan harta pusaka di sini melaporkan berlaku peningkatan sebanyak 40 peratus dalam penulisan wasiat baharu manakala syarikat AmanahRaya menerima lebih permohonan daripada syarikat untuk mengadakan sesi dialog bersama kakitangan mereka mengenai kepentingan perancangan harta pusaka.
"Kebiasaannya berlaku peningkatan (permohonan wasiat baharu) apabila tragedi berlaku kerana ia mengingatkan orang ramai bahawa kehidupan hanyalah sementara dan lebih baik mengambil langkah awal sebelum terlambat," kata Pengurus Besar Kanan, Rockwills Trustee Bhd, Azhar Iskandar Hew.
Pada 8 Mac lalu, pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 hilang dari radar bersama 239 penumpang dan anak kapal manakala empat bulan kemudian, pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang ditembak jatuh dekat sempadan Rusia-Ukraine.
Ahzhar berkata adalah penting untuk tidak meninggalkan orang yang kita sayang dalam kesusahan sekiranya sesuatu yang tidak diingin menimpa kita.
Hanya sebilangan kecil, antara 5% dan 10 %, rakyat Malaysia dipercayai menulis wasiat.
Pengamal undang-undang keluarga, Andy Low Hann Yong berkata, berlaku 'peningkatan ketara' dalam permintaan terhadap perkhidmatan penulisan wasiat.Katanya, ini mungkin disebabkan peningkatan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan wasiat atau kejadian malang seperti MH370 dan gempa bumi serta laporan perebutan harta pusaka melibatkan personaliti atau taikun.
