3 Julai 2015
Utusan Online
Mengikut
trend semasa, kos rawatan perubatan di hospital sentiasa sahaja meningkat
setiap tahun. Landskap perubatan Malaysia mungkin akan menerima kesan dengan
jadual baharu caj pembedahan pesakit yang membolehkan kos meningkat sebanyak
kira-kira 14 peratus, dan peningkatan lebih besar sehingga 200 peratus secara
umum dan juga bagi rawatan pakar*.
Pada
tahun 2013, inflasi perubatan bersih di Malaysia mencatatkan kadar 8.3
peratus*. Kos rawatan perubatan asas swasta meningkat dengan begitu pantas,
manakala kos perubatan untuk penyakit kritikal atau kecederaan tentu sahaja
boleh mengosongkan akaun bank anda. Apa yang paling teruk ialah apabila kos
rawatan boleh merencatkan rancangan kewangan anda untuk masa depan, memaksa
anda mengorbankan impian anda untuk mendapatkan rawatan perubatan yang amat
diperlukan.
Oleh
itu, amatlah penting untuk anda menjaga dan melindungi diri anda walaupun
ketika sihat untuk bersedia menghadapi ketidaktentuan masa hadapan. Pelan
takaful perubatan akan menyediakan anda untuk mendapatkan rawatan perubatan
yang sewajarnya apabila anda memerlukannya.
Pelan takaful perubatan memberikan perlindungan untuk rawatan perubatan seperti
penjagaan asas, faedah rawatan hospital, pembedahan dan rawatan pesakit luar.
Ada pelan turut menawarkan manfaat yang komprehensif dan menyeluruh, sebagai
contoh, rawatan kanser pesakit luar dan rawatan dialisis buah pinggang. Untuk
menggalakkan kita mengamalkan gaya hidup sihat, ada pelan-pelan yang akan
memberikan kelebihan tambahan sekiranya tiada tuntutan yang berlaku dalam
tempoh tiga tahun pertama perlindungan, had seumur hidup akan meningkat. Oleh
itu, pemilik pelan takaful tersebut akan menikmati kenaikan 10 peratus daripada
had kadar tuntutan asal.
Pelan
takaful perubatan boleh dimiliki secara tunggal atau menjadi rider kepada pelan
takaful keluarga atau pelan takaful berkaitan pelaburan. Ada juga pelan yang
turut merangkumi rawatan selepas keluar dari hospital dan juga memberikan elaun
tunai harian serta manfaat harian bagi mereka yang menemani anda di hospital.
Kebanyakan pelan takaful perubatan turut melindungi anda sekiranya berlaku
hilang upaya kekal dan kematian akibat kemalangan. Beberapa pelan takaful turut
memberi perlindungan sekiranya anda berada di luar negara dan anda akan
mendapat akses kepada rawatan perubatan kritikal sekiranya keperluan mendesak.
Pelan
takaful perubatan berupaya untuk memberikan perlindungan yang melindungi anda
daripada kos perubatan yang tinggi dan di luar jangkaan.
Katakanlah anda
sekarang ini berumur 20 tahun dan memerlukan pembedahan berharga RM10,000 pada
hari ini. Pada usia 60 tahun kelak untuk pembedahan jenis yang sama, dalam masa
40 tahun sekiranya kadar inflasi kekal pada 8 peratus, anda akan memerlukan
lebih RM200,000 untuk mempunyai prosedur yang sama! Iaitu 20 kali lebih
daripada kos hari ini. Memang sukar untuk diterima, tetapi realiti ini mungkin
membuka mata anda tentang kepentingan mempunyai pelan takaful perubatan untuk
masa hadapan.
Bilakah
masa yang sesuai untuk anda memiliki pelan takaful perubatan? Ketika muda kadar
sumbangan takaful akan jauh lebih rendah berbanding sekiranya peserta mula
memiliki pelan ini setelah berusia. Selain itu, peserta yang lebih muda juga
boleh mendapatkan perlindungan penuh, kerana mereka tidak mempunyai sebarang
penyakit sedia ada.
Bagaimana pula dengan kos pembayaran pelan takaful yang
telah dibuat? Adakah tidak rugi jika membayar sumbangan selama 40 tahun lebih
awal sebelum anda mungkin benar-benar memerlukan pembedahan? Kebanyakan pelan
berkisar sekitar RM500 hingga RM1,000 setiap tahun bergantung kepada umur dan
gaya hidup anda. Kita boleh mengambil contoh 40 tahun, anda hanya perlu bayar
sekitar RM40,000 ini jauh lebih rendah berbanding RM200,000 kadar pembedahan
yang mungkin diperlukan 40 tahun dari sekarang.
Selain itu, ia mungkin sukar
untuk mendapatkan perlindungan yang anda perlukan apabila anda lebih berumur
disebabkan keadaan kesihatan yang sedia ada.
Ketika
muda, badan kita sihat dan bertenaga. Perkara yang paling akhir untuk
difikirkan adalah untuk memiliki pelan takaful perubatan. Tiada siapa yang
merancang untuk jatuh sakit atau cedera, tetapi dengan ketidakpastian hidup,
anda tidak pernah tahu bila anda atau ahli keluarga mungkin jatuh sakit atau
mengalami kemalangan.
Kesihatan adalah kekayaan kita sebenarnya. Tidak kira
berapa banyak wang yang anda miliki, namun tiada apa yang boleh menandingi
tubuh yang sihat. Hanya dengan kesihatan yang baik anda boleh menikmati
kekayaan yang dimiliki, dan tanpa kesihatan yang baik, anda mungkin akan
menghabiskan kekayaan anda dengan sekelip mata kerana perlu dibelanjakan untuk
sembuh seperti sedia kala, melainkan sekiranya anda telah pun memiliki pelan
takaful perubatan.
Lindungi
diri anda dan orang yang anda sayangi dengan mendapatkan pelan tersebut. Ia
akan melindungi anda dan orang tersayang serta harta yang dimiliki tanpa perlu
menghabiskannya untuk tujuan menanggung perbelanjaan perubatan yang sudah
pastinya amat tinggi dan membebankan. Berikan diri anda ketenangan fikiran
dengan pemilikan pelan takaful perubatan. Kehidupan akan lebih indah sekiranya
ia dilindungi daripada sebarang ketidaktentuan ini.
PENULIS adalah
Ketua Pegawai Eksekutif, Great Eastern Takaful Berhad