KOSMO ONLINE
TIADA siapa yang ambil peduli apatah
lagi mahu bertanya khabar. Malah, kehadiran Mariam dianggap sebagai beban dalam
kalangan sanak saudaranya hanya kerana dia tidak sesempurna insan lain.
Saat itu, pertalian saudara yang
terjalin bagaikan sudah tiada ertinya lagi.
Melihat Mariam terkapar-kapar meraih
simpati di mata sanak saudaranya setelah ibunya, Zainab meninggal dunia, orang
kampung mengambil keputusan menghantar Mariam ke rumah Sri Kenangan.
Namun, semuanya berubah selepas
Mariam meninggal dunia. Bukan kerana rasa kesal dengan sikap buruk mereka
terhadap arwah sebelum ini, sebaliknya kerana mereka ingin menuntut hak apabila
mengetahui Mariam meninggalkan harta yang banyak.
Dalam situasi pemergian Mariam
seharusnya diiringi doa dan bacaan ayat-ayat al-Quran, keadaan sebaliknya pula
berlaku. Mereka bertelingkah sesama sendiri mahu merebut harta terkerana
tiadanya wasiat.
Itu salah satu daripada ribuan kes
yang berlaku. Apatah lagi, pendedahan sebelum ini berhubung nilai harta pusaka
yang dibekukan berikutan kes yang gagal diselesaikan pewaris kerana ketiadaan
wasiat dianggarkan mencecah RM42 bilion.
Berdasarkan faktor itu, tidak salah
kalau mengandaikan budaya penulisan wasiat dalam kalangan rakyat negara ini
masih rendah. Melihat kepada senario ini, nampaknya ia berbalik kepada aspek
kesedaran dalam kalangan masyarakat. Justeru, adakah benar kita masih kurang
kesedaran akan kepentingan penulisan wasiat?
Mengakui perkara tersebut, Ketua Pegawai
Pemasaran Amanah Raya Bhd. (ARB) Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, tahap
kesedaran menulis wasiat dalam kalangan rakyat negara ini masih belum mencapai
tahap memuaskan.
Berbanding di Barat, menulis wasiat
sudah menjadi satu kewajipan dan bukannya sesuatu yang dilihat sebagai cara
mendoakan seseorang itu cepat mati.
"Berdasarkan kajian Amanah
Raya, hanya 668,000 orang menulis wasiat sama ada di Amanah Raya atau pun dalam
kalangan pemain industri. Daripada jumlah tersebut, 490,000 adalah dari Amanah
Raya. Ini berdasarkan kajian tahun lalu.
"Matlamat atau sasaran pasaran
yang perlu diteroka (penulisan wasiat) adalah seramai 3 juta orang. Jadi, angka
3 juta berbanding 668,000 orang yang tulis wasiat, menunjukkan tahap kesedaran
masyarakat masih rendah," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Bagaimanapun, kajian tersebut
mendapati, budaya menulis wasiat dalam kalangan golongan muda profesional,
menunjukkan satu respons yang memberangsangkan.
"Biasanya trend menulis wasiat
ini adalah dalam kalangan warga emas.
"Tetapi, sekarang sudah ramai
golongan muda tampil untuk membuat wasiat," katanya.
'Body saya ok lagi...I'm still
fit. Kemudianlah buat wasiat, lagipun badan masih rasa sihat dan lambat
lagi mati,' itu adalah antara faktor yang menyebabkan amalan menulis wasiat di
negara ini belum dapat dibudayakan lagi, kata Ahmad Saruji.
Perancangan awal
Mentaliti seperti itulah yang
menyebabkan harta pusaka terpaksa dibekukan sehingga mencecah RM42 bilion
kerana tiada pewaris.
"Kita tidak boleh mengandaikan
bahawa menulis wasiat hanya sesuai ketika sakit atau nazak. Ini satu mentaliti
yang salah kerana kita tidak tahu sama ada esok atau lusa, kita masih hidup
atau mati. Ia sebenarnya bersangkut paut dengan sikap suka procastinate.
"Sikap ini perlu diubah dengan
melakukan perancangan awal menulis wasiat kerana ia akan dapat menjamin
kehidupan keluarga kita. Jangan asyik tunda sahaja kerana yang merana nanti
adalah keluarga," katanya.
Setiap kali isu wasiat diutarakan,
semua pihak gemar meletakkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya kepada Amanah
Raya mahupun pemain industri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.
Walhal usaha meningkatkan kesedaran,
adalah tanggungjawab semua pihak merangkumi semua pihak sama ada institusi
keluarga, peranan ulama agama termasuklah swasta.
"Masyarakat tidak boleh
mengharapkan pemain industri sahaja. Kita (Amanah Raya) bergerak juga sebagai
tonggak utama, tetapi masyarakat juga harus mainkan peranan," katanya.
Bagi Amanah Raya, usaha meningkatkan
kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wasiat terus digiatkan dari semasa ke
semasa menerusi 19 buah cawangannya di seluruh negara melalui kerjasama yang
terjalin antara institusi perbankan dan ejen korporat yang dilantik.
"Bagi membuat wasiat di Amanah
Raya, kadar bayaran bagi orang Islam dan bukan Islam adalah RM350 satu wasiat.
Kita ada buat pakej pembiayaan dengan bank menerusi potongan gaji.
"Selain itu, orang ramai juga
boleh membuat bayaran menerusi kad kredit dan ini semua untuk memudahkan mereka
membuat wasiat. Sekiranya mereka tidak berupaya datang ke Amanah Raya atau
mana-mana agensi yang bekerjasama, kami boleh terus ke rumah anda,"
katanya. - Bernama